Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dataran Parlimen pada 13 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong sukacita usaha kerajaan bendung isu ketirisan awam, depani cabaran ekonomi global

SHAH ALAM, 13 FEB: Yang di-Pertuan Agong mengalu-alukan usaha kerajaan membendung isu ketirisan awam dan mempercepat mekanisme pemberian subsidi bersasar bagi mendepani cabaran ekonomi global.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menghargai tekad kerajaan membanteras rasuah secara agresif dengan menumpukan aspek perolehan dan penguatkuasaan berskala besar.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias cabaran ekonomi global termasuk ketidaktentuan ekonomi pascapandemik Covid-19.

“Krisis geopolitik yang membawa kesan kepada rantaian bekalan dan tekanan inflasi meningkatkan kos sara hidup,” titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 hari ini.

Seri Paduka turut bertitah kerajaan akan menumpukan agenda pembaharuan bagi memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia menjadi destinasi pelaburan pilihan.

“Negara telah mencatat eksport bernilai RM1.552 trilion pada Disember 2022 iaitu peningkatan 25 peratus berbanding tempoh sama 2021.

“Pencapaian ini melepasi sasaran jumlah eksport negara tiga tahun lebih awal daripada yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 iaitu sebanyak RM1.25 trilion menjelang 2025,” titah Al-Sultan Abdullah.


Pengarang :