Wakil Lembaga Zakat Selangor mengadakan kunjungan ke Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang untuk mendapatkan maklumat mengenai enam anak pasangan guru yang maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Cheneh, Terengganu awal Februari. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

LZS sedia bantu enam anak pasangan guru yang maut kemalangan di Terengganu

SHAH ALAM, 13 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) sedia membantu enam anak pasangan guru yang maut kemalangan di Kilometer 274, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Cheneh, Terengganu awal bulan ini.

Agensi itu memaklumkan ketika ini pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada waris enam yatim piatu berkenaan yang semuanya masih belajar.

“Prihatin dengan berita ini LZS berkunjung ke tempat mengajar pasangan ini di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang untuk mendapatkan info khususnya aspek kebajikan anak mereka.

“Alhamdulillah pihak sekolah memberi kerjasama menyalurkan maklumat keluarga tersebut demi memastikan kebajikan anak mangsa terbela. Buat masa ini kami menunggu info daripada waris untuk diputuskan terlebih dahulu di peringkat keluarga,” katanya di Facebook.

Pada 4 Februari, Arbain Baharudin, 47 dan isteri Rosmayati Bakar, 48, yang tinggal di Taman Pinggiran Saujana, Kajang, maut di tempat kejadian selepas kereta dinaiki terbabas.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu turut menyebabkan tiga anak mereka Farah Najwa Arbain, 20; Fatin Najla Arbain, 10, dan Faikal Nabila Arbain, 8, cedera di tangan, kaki dan muka.


Pengarang :