AGENDAJENAYAH

Anggota polis didakwa seludup 29 migran warga Myanmar

KOTA BHARU, 13 FEB: Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan penyeludupan membabitkan 29 migran warganegara Myanmar pada Januari lepas.

Koperal Syed Shaifful Amri Syed Solihuddin, 38, didakwa menyeludup semua migran berkenaan yang berusia lingkungan 19 hingga 47 tahun di dua lokasi berbeza pada 16 Januari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Shaifful Amri didakwa menyeludup tujuh lelaki dan enam wanita migran warga Myanmar di dalam sebuah motovan jenis Daihatsu Gran Max di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan, Tunjong di sini kira-kira 1.30 pagi.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua Syed Shaifful Amri didapati menyeludup 15 lelaki dan seorang migran wanita warga Myanmar di sebuah rumah inap desa, Jalan Pintu Geng Hulu di sini kira-kira 9.45 pagi.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Syed Shaifful Amri didakwa di bawah Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang merupakan kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Jika disabitkan kesalahan, anggota polis itu boleh dihukum penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 22 Mac sebagai tarikh deposisi (keterangan migran).

– BERNAMA


Pengarang :