Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kuang di Tasik Puteri pada 13 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah bantu jimat sehingga RM300 sebulan, beri manfaat kepada B40

Oleh SHAMZ JOHAN

SELAYANG, 13 FEB: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) termasuk peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang dapat membantu keluarga khususnya B40 menjimatkan perbelanjaan mereka.

Pembantu gerai, Srigustini Aju Sunary, 42, berkata kos perbelanjaan keluarganya dapat dijimatkan sehingga RM300 dengan adanya program jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu.

Srigustini Aju Sunary. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Isi rumah yang besar seperti kami amat memerlukan barang keperluan asas seperti ayam, beras dan daging. Dengan harga yang murah, kami dapat menjimatkan kos perbelanjaan sehingga RM300 sebulan,” katanya yang mempunyai lima anak yang masih bersekolah.

Peniaga Siti Maheran Mamat, 32, berkata dia lega program jualan murah itu dapat memenuhi keperluan keluarga berpendapatan kecil sepertinya.

Siti Maheran Mamat. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Dengan pendapatan kecil, baki gaji tinggal sedikit selepas bayar bil bulanan. Jadi, program ini sangat membantu kami sekeluarga.

“Saya harap program ini diteruskan sepanjang tahun,” katanya yang sudah lebih lima kali mengunjungi JER.

Pesara swasta, Abd Rahman Yaacob, 59, memuji inisiatif kerajaan negeri yang disifatkan menyatupadukan rakyat pelbagai kaum tanpa mengira fahaman politik.

Abdul Rahman Yaacob. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Kita lihat semua kaum hadir ke program JER ini, inisiatif ini secara tidak langsung dapat menyatupadukan bangsa tidak kira fahaman (politik) mana, kerajaan negeri santuni semua (rakyat) yang memerlukan.

“Penduduk amat mengharapkan program seperti ini, manfaatnya bukan saja pada golongan B40, malah untuk semua rakyat.

“Saya juga ingin mencadangkan, jika boleh, adakan kerjasama dengan pelbagai agensi yang menjual produk makanan lain seperti sayur, barang kegunaan harian dengan harga murah,” katanya.

Orang ramai membawa pulang barangan keperluan asas yang dibeli sempena Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kuang di Tasik Puteri pada 13 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Lebih 500 pengunjung hadir dalam program yang diadakan di Pangsapuri Sandalwood Court.

Barang asas yang dijual termasuklah ayam standard (RM10 seekor), daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :