Petugas DUN Kuang menyenaraikan pembelian barangan keperluan asas sebelum pembeli ke kaunter pembayaran pada Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kuang di Tasik Puteri pada 13 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kerjasama DUN, JMB bantu kelancaran program JER bersama penduduk

OLEH SHAMZ JOHAN

SELAYANG, 13 FEB: Kerjasama antara Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pimpinan setempat bantu melancarkan program jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Pegawai Bahagian Pemasarannya berkata pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) 2.0 ini, banyak penambahbaikan dibuat termasuk sistem nombor giliran yang dikendalikan oleh sukarelawan pejabat DUN dan penduduk setempat.

“Kebanyakan lokasi JER mengguna pakai sistem nombor giliran bagi membantu kelicinan program yang sentiasa sesak. Penduduk akan dipanggil mengikut giliran untuk membuat pembelian, ini dapat membantu bagi menyuraikan kesesakan dan barisan yang panjang.

“Walaupun begitu, pengunjung yang tidak mendapat nombor giliran masih boleh membeli selepas semua nombor habis dipanggil,” kata Nur Nazira Ahmad ketika ditemui di program JER peringkat DUN Kuang.

Tambahnya lagi, kempen bawa beg guna semula sendiri yang dijalankan bermula bulan ini juga disambut baik penduduk.

“Selepas kempen membawa beg guna semula sendiri kepada penduduk, ramai yang mula mengikut saranan tersebut dengan membawa beg dan troli kecil bagi membawa barang, terutamanya barang basah seperti ayam dan daging.”

Menurutnya, kerjasama pihak DUN dan pimpinan penduduk setempat seperti Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan persatuan penduduk banyak membantu mengawal kesesakan pengunjung.

“Pimpinan setempat mengenali penduduk atau ahli di perumahan mereka. Justeru, ia sangat membantu dalam menyampaikan maklumat dan hebahan serta kerjasama bagi menguruskan kesesakan penduduk,” katanya lagi.

Sementara itu, sambutan penduduk pada program JER anjuran kerajaan negeri semakin baik. Wakil Penyelaras DUN Kuang, Zarina Mohd Hassan, berkata penduduk gembira program jualan murah kerap diadakan.

“Alhamdulillah, sambutan dan kerjasama penduduk amat baik. Banyak kali diadakan di DUN Kuang, penduduk memberi maklumbalas positif dan banyak yang mendapat manfaat.”

Zarina memberitahu pihaknya juga menumpukan lokasi JER di kawasan rumah pangsa dan flat untuk menganjurkan program jualan murah anjuran PKPS itu.

“Pihak Penyelaras DUN menumpukan kawasan rumah pangsa atau flat bagi menganjurkan program JER ini. Melalui, kerjasama JMB dan persatuan penduduk, penyampaian maklumat serta hebahan dan promosi dapat dibuat menerusi pimpinan setempat,” katanya lagi.


Pengarang :