Ketua Jabatan Komunikasi Korporat KSSB Suhaimi Khalidi (dua kanan) menyerahkan tajaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon (dua kiri) di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Shah Alam pada 8 Februari 2023. Foto Facebook KSSB
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KSSB taja RM100,000, beli 250 jersi Selangor FC untuk suntik semangat pasukan

SHAH ALAM, 13 FEB: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) menaja wang tunai RM100,000 kepada Selangor FC sebagai suntikan semangat pasukan itu menghadapi musim baharu Liga Malaysia.

Ketua jabatan komunikasi korporatnya berkata pihaknya turut membeli 250 helai jersi ‘home’ untuk diagih secara percuma kepada kakitangan sebagai tanda sokongan terhadap skuad Merah Kuning.

“Tajaan ini adalah sebagai tanda sokongan KSSB sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri bagi memastikan skuad Gergasi Merah kekal kompetitif dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2023.

“KSSB berharap tajaan ini dapat memberi dorongan dan semangat kepada pasukan tersebut untuk berentap serta merebut gelaran juara dalam saingan tidak lama lagi,” kata Suhaimi Khalidi dalam kenyataan.

Sumbangan diserahkan Suhaimi kepada Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di sini pada 8 Februari lalu.


Ketua Jabatan Komunikasi Korporat KSSB Suhaimi Khalidi (kanan) berbual bersama Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon (kiri) di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Shah Alam pada 8 Februari 2023. Foto Facebook KSSB

Dalam kenyataan sama, Suhaimi berkata syarikat perlombongan dan pengurusan sumber mineral itu turut menjalin kerjasama dengan FAS bagi mengeluarkan barang dagangan.

“Kerjasama ini bertujuan mempromosikan produk keluaran anak syarikat KSSB iaitu air mineral semula jadi Aquasel,” katanya.

Saingan Liga Malaysia akan bermula 26 Februari ini dengan skuad kendalian Tan Cheng Hoe dijadual menentang Kelantan United pada aksi pertama.


Pengarang :