Kakitangan LUAS turun padang memantau Tasik Biru, Kundang di daerah Selayang. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

LUAS pantau Tasik Biru, berpotensi jadi sumber air mentah tambahan negeri

SHAH ALAM, 13 FEB: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memantau Tasik Biru, Kundang yang berpotensi dijadikan sumber air mentah tambahan negeri ini.

Agensi itu memaklumkan semakan dan pemantauan dilakukan bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi kerja-kerja pembersihan serta baik pulih.

“Semakan dan pemantauan bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ini bagi melihat kerja-kerja yang perlu dilaksanakan untuk menangani masalah air tasik melimpah dan aliran balik air.

“Kerja-kerja pembersihan akan segera dilaksanakan untuk menilai punca kepada limpahan air tersebut,” katanya menerusi Facebook.

Menurut LUAS, Tasik Biru sebahagian daripada 78 kolam yang akan diwarta bawah Zon Perlindungan untuk kawalan di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999.

Katanya ketika ini LUAS telah mengenal pasti 98 kolam sumber air alternatif yang berpotensi sebagai sumber air mentah tambahan Selangor.

“20 daripadanya telah diwartakan sebagai Zon Perlindungan untuk kawalan di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999.

“Kolam-kolam ini sentiasa dipantau oleh LUAS bagi mengelakkan segala bentuk gangguan dan kerosakan terhadap kualiti dan kuantitinya,” katanya.


Pengarang :