Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemulihan bekalan air 9 lagi kawasan di Klang giat dilaksanakan

SHAH ALAM, 13 FEB: Pemulihan bekalan air sembilan kawasan di Klang sedang giat dijalankan setakat jam 10 malam ini, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menurut Air Selangor, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Sehingga jam 10 malam, pemulihan bekalan air di sembilan kawasan di wilayah Klang sedang giat dijalankan yang mana bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi esok,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Air Selangor menasihatkan pengguna yang mengalami bekalan air berwarna supaya membiarkan paip air mengalir selama 5 hingga 10 minit sehingga ianya kembali jernih sebelum digunakan.

“Bekalan air yang disambung semula boleh menyebabkan pemendapan sedimen dalam paip utama yang telah kosong terampai semula. Ini mengakibatkan bekalan air berubah warna.

“Jika bekalan air masih berwarna, sila hubungi Air Selangor di 15300 atau ‘Help Centre’ untuk pemeriksaan dan tindakan susulan kami,” jelasnya.

Sabtu lalu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran bau dikenal pasti berpunca daripada tumpahan minyak aktiviti jentera berat (diesel) di keseluruhan lembangan Sungai Selangor.

Susulan itu, LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 terpaksa dihenti tugas menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di lapan wilayah Air Selangor.


Pengarang :