Pasukan MAS-10 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) terdiri daripada Pasukan SMART, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat gempa di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye pada 11 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kos RM4 juta biayai operasi pasukan SAR mangsa gempa bumi di Turkiye

SHAH ALAM, 14 FEB: Kerajaan membelanjakan sejumlah RM4 juta bagi membiayai operasi dua Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dana RM2 juta bagi setiap pasukan menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

“Pasukan pertama terdiri daripada 70 orang pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) termasuk penyertaan ahli pasukan MyTeam Relief berkepakaran daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), bomba, perubatan, Kor Kesihatan Diraja dan tentera berlepas ke Turkiye pada 6 Februari.

“Manakala pasukan kedua dengan kekuatan seramai 70 orang terdiri daripada Pasukan SMART, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia diatur gerak dua hari kemudian,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berhubung kos keseluruhan atur gerak anggota SAR sepanjang tugasan di kawasan bencana.

Berhubung bantuan kepada Syria, Anwar berkata perbincangan bersama kuasa usaha sementara kedutaan besar Syria di Kuala Lumpur diadakan semalam bagi mendapatkan butiran situasi sebenar di kawasan terbabit.

Beliau menjelaskan perbincangan itu juga bagi mendapatkan perincian keperluan kritikal diperlukan ketika ini dan lokasi yang terjejas teruk.

“Pasukan peninjau khas ke Damsyik diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri akan berlepas ke Syria hari ini.

“Lawatan ini penting bagi mengenal pasti barangan keperluan diperlukan dan laluan selamat bagi penyaluran sumbangan di samping membina jaringan komunikasi dengan pihak berkuasa di sana,” katanya.

 


Pengarang :