Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun beras sebelum jualan dimulakan di pekarangan Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes, Rawang pada 14 Februari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

180 pek daging, 150 kampit beras terjual dalam 40 minit jualan murah di DUN Rawang

Oleh DIANA ABD WAHAB

RAWANG, 14 FEB: Jika di pelbagai lokasi jualan murah negeri ayam dan telur menjadi buruan, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang pula daging dan beras menjadi rebutan orang ramai.

Rata-rata pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di sini membeli lebih sekampit beras memandangkan tiada had pembelian ditetapkan.

Pembantu Tadbir Perkeranian dan Operasi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata 150 kampit beras dan 180 pek daging terjual dalam tempoh 40 minit sebaik jualan bermula.

Nor Azyyati Hassan berkata lebih 400 penduduk mengunjungi program anjuran Kerajaan Negeri itu untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga murah.

Nor Azyyati Hassan. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Disebabkan pengunjung ramai kita hadkan pembelian seekor ayam dan sepapan telur untuk setiap pembeli agar semua berpeluang beli barangan keperluan hari ini.

“Kita tak mahu pengunjung kecewa pulang dengan tangan kosong kerana mereka sudah datang seawal 7 pagi meskipun jualan bermula 10.10 pagi,” katanya.

Beliau ditemui pada program jualan murah di pekarangan Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes, di sini, hari ini.

Nor Azyyati berkata pada jualan murah di DUN Rawang itu PKPS menyediakan 500 ekor ayam, 300 kampit beras, 300 pek daging, 300 pek ikan, 300 papan telur dan 150 botol minyak masak.

Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan bermula 16 Januari hingga Mac di sembilan lokasi setiap hari kecuali Jumaat.

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :