Orang ramai menunggu giliran untuk membeli barangan keperluan murah pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di pekarangan Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes, Rawang pada 14 Februari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

5,000 penduduk DUN Rawang terima manfaat jualan murah negeri

Oleh DIANA ABD WAHAB

SELAYANG, 14 FEB: Lebih 5000 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang menerima manfaat program jualan murah dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sejak dilaksana tahun lalu.

Pembantu khas Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang berkata pihaknya merancang untuk menganjurkan lebih 10 kali Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di lokasi terpilih di DUN Rawang tahun ini.

Ainul Aizura Ahsan

Ainul Aizura Ahsan bagaimanapun berkata pihaknya masih menunggu jadual daripada PKPS sebelum membuat keputusan.

“Ikut perancangan kita mahu anjurkan lebih daripada 10 program jualan murah di DUN Rawang sama seperti tahun lalu kerana terima sambutan hebat daripada penduduk yang rata-rata adalah golongan berpendapatan rendah (B40).

“Namun kita masih tunggu jadual daripada PKPS dan harap dapat anjurkan lebih banyak program jualan murah kerana kita prihatin dengan peningkatan kos sara hidup yang membebankan golongan ini,” katanya.

Beliau ditemui pada program JER peringkat DUN Rawang di pekarangan Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes di sini hari ini.

Menurut Ainul Aizura setakat ini DUN berkenaan sudah lima kali menganjurkan program tersebut dan mendapat sambutan hangat apabila penduduk hadir seawal 7 pagi di lokasi walaupun jualan hanya bermula 10 pagi.

“Penduduk boleh menyemak maklumat mengenai program jualan murah di DUN Rawang menerusi Facebook PKPS,” katanya.

Inisiatif jualan murah kendalian PKPS diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini.

Antara produk ditawarkan ialah ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).


Pengarang :