Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam temu bual bersama media di Putrajaya pada 8 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Atasi proses berulang, tempoh tunggu rawatan di jabatan kecemasan disingkat

SHAH ALAM, 15 FEB: Pemerkasaan kaedah LEAN Healthcare antara usaha Kementerian Kesihatan (KKM) mengurangkan kesesakan di hospital dan masa menunggu pesakit mendapat rawatan di jabatan kecemasan.

Menterinya berkata melalui kaedah terbabit, proses berulang yang menjejaskan pergerakan pesakit dapat dikurangkan sekali gus melancarkan aliran pesakit berjalan.

Menurut Dr Zaliha Mustafa, ketika ini kaedah itu digunakan di Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang yang dapat mengurangkan masa menunggu pesakit daripada 192 minit kepada 88 minit.

“Aktiviti penambahbaikan dilakukan menerusi inisiatif ini menyasarkan pengurangan waktu menunggu untuk berjumpa doktor bermula dari kaunter pendaftaran sehingga pesakit mengambil ubat di farmasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen berhubung rancangan KKM mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital seluruh negara.

Dr Zaliha berkata pihaknya turut merangka pelaksanaan projek Short Stay Unit (SSU) dengan memfokuskan pesakit stabil yang memerlukan rawatan kurang daripada 72 jam.

“Pesakit akan dimasukkan ke SSU untuk rawatan berfokus dan optimum. Ini dapat mengurangkan waktu menunggu mendapatkan katil bagi pesakit kes ringan yang memerlukan pemantauan jangka pendek,” katanya.

Usaha lain dirangka KKM seperti berikut:

  • Pendigitalan unit pengurusan katil secara berpusat melalui sistem Pusat Kesiapsagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC)
  • Kerjasama dengan agensi kerajaan dan sektor swasta
  • Merawat kes bukan kecemasan di klinik kesihatan
  • Memperkasa komuniti dan meningkatkan kesedaran awam
  • Pengauditan dalaman dan meneliti semula keberkesanan inisiatif sedia ada dalam KKM

Pengarang :