Orang ramai membeli barangan keperluan asas di Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Seri Serdang di Taman Puchong Permai, Subang Jaya pada 15 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Surau, masjid jadi lokasi jualan murah di DUN Seri Serdang

SUBANG JAYA, 15 FEB: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang jalin usaha sama dengan pengurusan masjid dan surau dalam pemilihan lokasi penganjuran Jelajah Ehsan Rakyat.

Pegawai Khas (Kebajikan) kepada wakil rakyatnya Islah Ismail berkata inisiatif itu antara kelainan yang cuba dibawa bagi memberi kemudahan kepada warga sekitar untuk membeli barangan pada harga murah.

Pegawai Khas (Kebajikan) ADN Seri Serdang Islah Ismail. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Tahun ini kita banyak buat kerjasama dengan masjid atau surau memandangkan tahun lepas banyak buat di kawasan lapang. Jadi kali ini kita cuba rapatkan hubungan dengan masjid dan surau lebih-lebih lagi bulan Ramadan yang semakin dekat.

“Di lokasi hari ini kita buka tabung untuk kutipan ihya’ Ramadan bagi memudahkan pengunjung yang berhasrat untuk menderma kepada surau yang membawa kebaikan bersama iaitu kita boleh anjur jualan murah pada masa sama surau jugak mendapat manfaat,” katanya.

Ditemui pada jualan murah di perkarangan Surau Ar-Ridhuan, Taman Puchong Permai hari ini, Islah berkata pihaknya menyasarkan 25 program jualan murah berlangsung di DUN berkenaan sehingga Mac.

“Pihak DUN berhubung rapat dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan berusaha memohon slot sekerap mungkin,” katanya.

Jualan murah kelolaan PKPS menawarkan jualan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Program berkenaan memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di sekitar 56 DUN sebelum ini yang kemudiannya dilanjutkan hingga Mac depan.

 


Pengarang :