Pasukan MAS-01 dari anggota SMART bersama pasukan tempatan melakukan mencari dan menyelamat di bawah runtuhan bangunan di Nurdagi di Gaziantep, Turkiye pada 14 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

TUDM siap sedia hantar bantuan kemanusiaan ke Syria Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Dua pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah diarah bersiap sedia untuk berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik bagi menghantar bantuan kemanusiaan pada Sabtu.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan semalam memaklumkan Pasukan Peninjau Khas disertai 20 wakil dari pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) berlepas ke Syria pada 14 Februari untuk membina jaringan komunikasi dengan pihak berkuasa tempatan termasuk mengenal pasti laluan selamat untuk misi penghantaran bantuan dari Malaysia.

Orang ramai yang ingin menyumbang barangan keperluan boleh berbuat demikian dengan menghantar ke pusat pengumpulan di bawah seliaan NADMA dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) di alamat berikut:

  • (NADMA) Markas SMART, NADMA Malaysia, Jalan Pulau Meranti, 47120 Puchong, Selangor
  • (MCRS) Lot PT54, Lengkok Belfield, off Jalan Wisma Putra, Kg Attap, 50460 Kuala Lumpur

Kementerian juga mengalu-alukan orang ramai, kumpulan korporat dan perniagaan serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan sumbangan melalui Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN).

Sumbangan boleh dibuat melalui:

  • Akaun: Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri
  • Bank: Affin Islamic Bank Berhad, Cawangan Putrajaya
  • Nombor Akaun: 1054 9000 0599

Bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit, sila nyatakan butiran sumbangan anda melalui pautan https://tinyurl.com/yck9tnen.

Sebarang pertanyaan boleh dimajukan kepada pihak Sekretariat TBKLN ([email protected]).

Sumbangan yang dibuat adalah layak untuk mendapatkan pengecualian cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Pada 6 Februari lepas, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter telah melanda kawasan selatan Turkiye serta Syria, dan setakat 13 Feb, dilaporkan bilangan kematian mencecah 31,644 orang, dengan 106,428 lagi cedera, manakala di Syria pula, 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera.

Setakat semalam, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia telah mengeluarkan 47 mayat dari bawah runtuhan dan menyelamatkan lima sekeluarga. – BERNAMA


Pengarang :