Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad (lima, kiri) bergambar bersama peserta kursus asas potong rambut di Streetfade Barbershop, Hulu Selangor pada 14 Februari 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad
ADNBERITA UTAMASELANGOR

20 belia sertai kursus asas gunting rambut, peluang jana pendapatan

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 16 FEB: Seramai 20 belia menyertai kursus asas gunting rambut anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batang Kali kelmarin.

Penyelarasnya berkata program dengan kerjasama Team Selangor di Streetfade Barbershop bertujuan membantu anak muda mempelajari teknik memotong rambut.

Saifuddin Shafi Muhammad berharap peserta kursus berkenaan dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman untuk menjana pendapatan sekali gus membuka perniagaan sendiri.

“Kita mesti memahami kehendak dan ‘lifestyle’ terkini anak muda yang gemar mengusahakan perniagaan sendiri seperti memotong rambut, membaiki telefon dan menjual kopi hipster.

“Selain menjadi gaya hidup, ia boleh diterjemahkan ke arah keperluan hidup yang menjadi punca rezeki masa kini,” katanya.

Saifuddin turut melahirkan penghargaan kepada Pengurus Streetfade Barbershop Muhammad Aizuddin Lokman yang membenarkan premisnya digunakan untuk program kali ini.

“Terima kasih juga kepada Team Selangor kerana menganjurkan program seperti ini. Saya berharap banyak lagi program seperti ini akan dianjurkan pada masa akan datang,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan menganjurkan program lanjutan untuk peserta yang berminat dan membantu memberi peralatan agar mereka boleh memulakan perniagaan secara bergerak.


Pengarang :