BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Kreativiti mesin kecerdasan buatan, ‘ahli nujum’ warga purba

OLEH ZAMIR MOHYEDIN

SHAH ALAM, 16 FEB: Tahun 2016 memaparkan satu lagi peristiwa simbolik (selain daripada pemain catur Garry Kasparov lawan komputer Deep Blue) bagi kemenangan kecerdasan buatan apabila AlphaGo menewaskan jaguh permainan Go Lee Sedol.

Berbanding catur, permainan Go (gambar) lebih rumit dan lebih banyak ketidakpastian (uncertainty). Tahap kepintaran kecerdasan buatan dapat diuji apabila berhadapan dengan ketidakpastian yang tinggi. Ia semakin pintar apabila berjaya menangani ketidakpastian yang tinggi dengan baik.

Go merupakan permainan berpapan berstrategi untuk dua orang pemain. Permainan berkenaan menggunakan batu hitam dan putih sebagai buah caturnya.

Kemenangan AlphaGo bukan kemenangan yang sama dirasai seperti kemenangan Deep Blue. Lembah Silicon menyambut kemenangan AlphaGo dengan begitu meriah kerana teknologi mereka berjaya menumbangkan jaguh dalam kalangan manusia. Korea Selatan pula diselubungi dengan suasana suram dan ketakutan. Banyak akhbar di Korea Selatan menyiarkan kejayaan kecerdasan buatan mencapai intuisi dan kreativiti dalam permainan.

Suatu ketika dahulu, kita selalu bermegah dengan kreativiti dan imaginasi kita yang selalunya menjadi penanda aras yang membezakan kita dengan mesin, malah penanda aras yang membezakan kita dengan haiwan. Tetapi manusia silap kerana mesin juga mempunyai kreativiti yang kita tidak dapat gambarkan.

Ketika Deep Blue menumpaskan Kasparov, sesetengah saintis tidak merasakan Deep Blue mesin yang pintar. Ia hanya tangkas melihat kebarangkalian berbanding manusia. Ia tidak merangka strategi untuk menang. Ia mempunyai kemampuan ramalan yang tinggi. Deep Blue bergerak mengikut peraturan permainan yang telah ditetapkan dan tidak mempunyai pengalaman ataupun data tentang perlawanan-perlawanan catur sebelum ini.

AlphaGo sangat berbeza dengan Deep Blue. AlphaGo dilatih dengan melihat 30 juta pergerakaan buah Go yang pernah dimainkan oleh pakar. Kemudian, ia berlawan dengan dirinya sendiri sebanyak berjuta kali untuk meningkatkan kecekapannya dalam permainan tersebut.

Setiap kali ia kalah berlawan dengan dirinya sendiri, ia akan merangka strategi untuk mengelakkan hal itu berulang. Pencipta AlphaGo pun tidak tahu strategi AlphaGo. AlphaGo mempunyai renungan dan strategi yang tidak dapat difahami oleh manusia. AlphaGo hanya boleh bagi kemenangan tetapi ia tidak dapat beritahu kepada manusia bagaimana caranya, kaedahnya dan strateginya.

Ia sering melakukan pergerakan yang tidak pernah terfikir oleh manusia bahawa pergerakan itu memberikan kelebihan dan boleh membawa kemenangan. AlphaGo sendiri pernah mengorbankan buah Go sehingga ramai menyangka AlphaGo melakukan kesilapan. Tetapi tidak disangka, pergerakan itu membawa kemenangan sebenar kepadanya. Mesin ini kelihatan mempunyai kreativiti dan intuisi.

Go merupakan permainan berpapan berstrategi untuk dua orang pemain menggunakan batu hitam dan putih sebagai buah catur

Pengalaman ribuan tahun

Berlawan dengan AlphaGo ibarat berlawan dengan pemain yang mempunyai pengalaman selama ribuan tahun kerana data yang disuap dan data yang diperolehi ketika bermain dengan pelbagai versi dirinya sendiri.

Sepanjang AlphaGo dilatih, kita tidak tahu strategi-strategi yang telah direkanya untuk menumpaskan lawan. Malah para penciptanya sendiri di DeepMind turut diselubungi kejahilan. Kita tidak tahu mengapa AlphaGo menggerakkan buahnya di tempat sekian dan sekian.

Semenjak kemenangannya itu, AlphaGo ditambah baik lagi dan menumpaskan lebih ramai jaguh Go termasuklah Fan Hui. Menariknya, semenjak kekalahannya, Fan Hui menjadikan kecerdasan buatan sebagai medium untuk beliau berlatih dan memahami strategi mesin bermain.

Dalam tempoh beberapa bulan selepas berlatih dengan kecerdasan buatan, kedudukan Fan Hui meningkat daripada 500 kepada 300. AlphaGo juga berjaya menumbangkan Ke Jie, jaguh Go nombor satu dunia pada ketika itu yang mempunyai rating Elo setinggi 3,733. AlphaGo sendiri pernah menganalisis permainan Ke Jie dan menyatakan permainan Ke Jie hampir sempurna. Namun, AlphaGo lebih sempurna.

AlphaGo merupakan perintis kepada penciptaan kecerdasan buatan yang lebih baik daripada dirinya. AlphaGo Master tiga kali ganda lebih baik daripada AlphaGo. AlphaGo mempunyai rating Elo setinggi 3,739 manakala AlphaGo Master mempunyai rating Elo setinggi 4,858. Kemudian DeepMind mencipta AlphaGo Zero pada tahun 2017 yang jauh lebih baik daripada dua versi sebelumnya.

AlphaGo Zero tidak dilatih dengan memasukkan data-data tentang perlawanan Go sebelumnya, tidak seperti AlphaGo dan AlphaGo Master. Ia hanya dilatih secara berlawan dengan dirinya sendiri. Kini, dalam dunia catur, go dan shogi merupakan antara permainan yang dikuasai oleh mesin dan manusia tidak dapat lagi menumpaskannya.

Penciptaan mesin kecerdasan buatan yang pakar bermain sehingga mampu merangka strategi yang kreatif dan tidak diketahui manusia telah memberikan aspirasi kepada DeepMind supaya suatu hari nanti kita dapat mencipta mesin yang dapat menyelesaikan pelbagai masalah dunia yang sistemnya begitu rumit. Mesin yang dapat memberikan idea dan cadangan yang kreatif bagaimana untuk selesaikan masalah seperti perubahan iklim, wabak, kemiskinan, kebuluran dan pelbagai lagi.

Kehadiran kecerdasan buatan ibarat ahli nujum (oracle) yang sering dijadikan rujukan masyarakat purba suatu ketika dahulu. Apabila datangnya bencana, masalah dan perselisihan, ahli nujum dirujuk untuk memberikan penyelesaian. Biasanya ahli nujum sentiasa memberikan solusi tanpa menghuraikan kewajarannya. Masyarakat pada masa itu pun tidak mengambil peduli mengapa penyelesaiannya harus demikian kerana kepercayaan mereka terhadap ahli nujum begitu tinggi.

Pada hari ini, kita bakal menyaksikan bibit-bibit ini kerana kepercayaan kita terhadap keupayaan kecerdasan buatan. The Hague pernah menggunakan kecerdasan buatan untuk menangkap penjenayah. Kecerdasan buatan pun pernah mendiagnos penyakit lebih pantas daripada doktor.

Sekiranya anda dicabar oleh pemain Go Lee Sedol, tentulah anda akan mengerahkan AlphaGo untuk menewaskannya. Asalkan anda menang, anda mungkin tidak peduli pun bagaimana AlphaGo bermain.


Pengarang :