Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles Hospital Medini (GHM) Johor Dr Kamal Amzan (dua, kiri) selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) penajaan program biasiswa penuh SELFA-HSP di Unisel kampus Shah Alam pada 14 Februari 2023. Foto Facebook UNISEL
AGENDANASIONALSELANGOR

Penuntut Unisel dapat tajaan, bekerja di hospital swasta

SHAH ALAM, 16 FEB: Universiti Selangor (Unisel) dan Gleneagles Hospital Medini (GHM) Johor menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menaja biasiswa penuh kepada penuntut Fakulti Sains Kesihatan institusi itu.

Pengarah komunikasi korporat Unisel berkata jalinan kerjasama kedua-dua pihak juga memberi kelebihan kepada penuntut berkaitan kerana diberi jaminan pekerjaan di hospital tersebut setelah tamat pengajian.

Hasril Abu Hssan berkata pusat kesihatan itu akan menanggung keseluruhan yuran pengajian pelajar jurusan Diploma Kejururawatan menerusi program biasiswa SELFA-HSP.

“Mereka juga akan menerima elaun bulanan RM500 selain bayaran buku RM1,000 setahun sepanjang tempoh pengajian.

“Unisel turut menyediakan beberapa kemudahan termasuk asrama, dua pasang uniform setahun serta kit kejururawatan secara percuma,” katanya dalam kenyataan.

Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles Hospital Medini (GHM) Johor Dr Kamal Amzan (kanan) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) penajaan program biasiswa penuh SELFA-HSP di Unisel kampus Shah Alam pada 14 Februari 2023. Foto Facebook UNISEL

MoA kedua-dua pihak dimeterai di Unisel kampus Shah Alam di sini pada 14 Februari lalu.

Dokumen ditandatangani Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman manakala GHM Johor diwakili Ketua Pegawai Eksekutinya Dr Kamal Amzan.

Sementara itu, Hasril berkata Unisel menyasar lebih 20 penuntut jurusan terbabit mendapat tajaan tahun ini, dengan 18 pelajar sedang menikmati manfaat sama sejak Ogos tahun lalu.

“Kita turut dimaklumkan GHM Johor menyediakan tajaan RM2.5 juta tahun ini bagi kerjasama ini,” katanya.


Pengarang :