AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Motosikal, barangan elektrik menanti pengunjung bertuah di Jelajah Selangor hujung minggu ini

SHAH ALAM, 16 FEB: Orang ramai berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa motosikal dan barangan elektrik pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) yang membuka tirainya hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata pengunjung perlu  mengimbas kod QR untuk menyertai cabutan bertuah dengan pemilihan nombor dibuat secara digital berdasarkan maklumat pendaftaran.

Ketua Pegawai Eksekutif  Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya mengalu-alukan semua rakyat Selangor untuk datang pada program ini kerana pelbagai inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri perlu kita tahu.

“Seperti penganjuran sebelum ini selain hadiah utama yang biasanya motosikal turut ditawarkan adalah hadiah cabutan sampingan berupa barang elektrik dan elektronik,” kata Norita Mohd Sidek dalam satu majlis di Bangunan Darul Ehsan, hari ini.

JKSP yang dahulu dikenali sebagai Jelajah Selangor Penyayang (JSP) membuka semula tirainya pada 18 Februari di Flat Seri Perantau, Klang mulai 9 pagi hingga 5 petang dan diteruskan ke Oasis Batang Kali, Hulu Selangor pada waktu sama keesokan harinya.

Jelajah bagi mempromosi pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat diteruskan ke tujuh lagi daerah pada 28 April hingga 14 Mei.

Terdahulu, Norita menyempurnakan majlis penyampaian hadiah utama cabutan bertuah JSP bagi tahun lalu yang menyaksikan empat pemenang menerima hadiah masing-masing berupa sebuah motosikal jenama Honda Wave 125i.


Pengarang :