Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim bercakap ketika sidang media ADN melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 di lobi Dewan Annex, Shah Alam pada 16 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Enam bulan gagal hadir tanpa sebab, kerusi DUN Batang Kali diisytihar kosong

SHAH ALAM, 16 FEB: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali diisytihar kosong berikutan kegagalan wakil rakyat hadir ke sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) lebih enam bulan tanpa sebab.

Speaker DNS Ng Suee Lim memaklumkan keputusan berkuat kuasa 28 Januari dibuat selepas Harumaini Omar tidak hadir tanpa kebenaran pada keseluruhan sidang bermula November tahun lalu.

Beliau berkata tarikh akhir kehadiran Ahli Dewan Negeri (ADN) terbabit ke persidangan pada 27 Julai 2022, berdasarkan rekod penyata rasmi dan buku kehadiran.

“Memandangkan tempoh enam bulan dikira bermula dari 28 Julai tahun lalu, maka mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, tempoh ketidakhadiran beliau melebihi enam bulan.

“Maka dengan kuasa saya sebagai Speaker, saya mengisytiharkan kerusi Harumaini kosong berkuat kuasa 28 Januari lalu. Ini bermakna kelayakannya sebagai ADN juga terlucut,” katanya hari ini.

Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim (kanan) bercakap ketika sidang media berhubung ADN melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 di lobi Dewan Annex, Shah Alam pada 16 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bercakap pada sidang media di lobi bangunan Annex di sini, beliau berkata Harumaini tidak pernah berhubung dan menghantar surat bagi memaklumkan ketidakhadirannya sepanjang tempoh berkenaan.

Suee Lim berkata pihaknya juga mengambil sedikit masa untuk mengumumkan perkara itu kerana perlu dilakukan secara tertib dan teratur selain mendapatkan pandangan penasihat undang-undang negeri.

“Jadi beliau akan mengetahui (pelucutan) menerusi sidang media ini. Sebarang rayuan tidak akan diterima dan beliau juga tidak boleh hadir pada sidang DNS pada 13 Mac depan,” katanya.

Beliau berkata notis kekosongan kerusi itu juga akan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

“Terpulang kepada SPR sama ada akan dibuat pilihan raya kecil atau sebaliknya. Mengikut Perkara 54 Perlembagaan Malaysia, biasanya tiada jika jadi wakil rakyat lebih tiga tahun,” katanya lagi.

Harumaini merupakan anggota Bersatu yang bertanding di kawasan terbabit pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebelum parti berkenaan keluar daripada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pada 2020, beliau meninggalkan Bersatu dan menyertai Pejuang yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Pengarang :