Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 16 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengarah bergelar Datuk direman, pencemar air di Selangor diambil tindakan

SHAH ALAM, 17 FEB: Pengarah sebuah syarikat bergelar Datuk dikenakan tindakan selepas melakukan pencemaran air di Selangor.

Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia sebagai usaha proaktif menangani isu pencemaran sumber air yang memberi kesan kepada pengguna.

“Tindakan pihak berkuasa bukan hanya kepada pekerja yang membuang sisa tetapi juga pengarah syarikat bergelar Datuk. (Kes ini) Kita ambil tindakan dan mereka direman dua minggu.

“Selain itu kes pencemaran Loji Rawatan Air Sungai Semenyih. Ada beberapa insiden pada 31 Ogos, 3 September dan 16 Disember 2021 melibatkan lebih 300,000 akaun pengguna.

“Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) ambil tindakan peringkat negeri selain tindakan Jabatan Alam Sekitar (ambil tindakan). Ada kes akibatkan bau diesel dan polis ambil tindakan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan,” katanya di Parlimen hari ini.

Terdahulu wakil rakyat Setiawangsa itu berkata pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bakal dibentang pada Jun meliputi beberapa perkara termasuk denda sehingga RM10 juta serta 15 tahun penjara.

Pindaan juga melibatkan hak mangsa gangguan air yang boleh menuntut semula kos untuk memulihkan sistem bekalan dari pihak yang didapati bersalah.

Pada November 2020, Kerajaan Selangor meluluskan pindaan Enakmen LUAS setelah gangguan bekalan kerap berlaku akibat pencemaran sungai yang menyebabkan loji rawatan air dihenti tugas.

Pindaan tersebut antaranya menambah peruntukan penjara mandatori, menambah jumlah denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta.

LUAS juga boleh mengarahkan pesalah kes pencemaran air membayar kos kerja pembersihan serta memberi ganjaran kepada pemberi maklumat jenayah cemar air.


Pengarang :