Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Mohd Sidek (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian hadiah utama cabutan bertuah Program Jelajah Selangor Penyayang (JSP) 2.0 2022 di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 16 Februari 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemenang hadiah utama jelajah bantu rakyat terima hadiah motosikal

SHAH ALAM, 16 FEB: Empat pemenang hadiah utama cabutan bertuah Program Jelajah Selangor Penyayang (JSP) 2.0 2022 menerima hadiah masing-masing berupa sebuah motosikal hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata mereka adalah pengunjung bertuah yang hadir program JSP siri kedua pada Oktober hingga Disember tahun lalu di empat daerah iaitu Sabak Bernam, Klang, Sepang dan Hulu Selangor.

“Semua pemenang membawa pulang hadiah utama berupa sebuah motosikal jenama Honda Wave 125i dengan nilai keseluruhan kira-kira RM40,000,” kata Norita Mohd Sidek.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang di Bangunan Darul Ehsan di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Mohd Sidek menyampaikan hadiah kepada pemenang hadiah utama cabutan bertuah Program Jelajah Selangor Penyayang (JSP) 2.0 2022 di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 16 Februari 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Menurut Norita program JSP merupakan platform hebahan bagi memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu Kerajaan Negeri untuk dimanfaatkan rakyat Selangor.

“Program ini disertai oleh MBI, anak syarikat di bawah MBI dan pelbagai agensi Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, pemenang Meor Harudin Meor Abdul Jalil, 61, berkata cabutan bertuah itu dianggap hadiah persaraannya yang bersara dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor pada 22 November tahun lalu.

Meor Harudin Meor Abdul Jalil. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Saya ada motosikal, tapi sudah berusia kira-kira 20 tahun. Jadi motosikal yang saya dapat hari ini saya akan gunakan untuk ke surau dan sebagainya. Memang sangat bersyukur dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan penaja,” katanya.

Pemenang lain Norhana Basiran berhasrat menghadiahkan motosikal berkenaan kepada anak lelakinya kerana anaknya yang teruja untuk mendaftar cabutan bertuah pada hari berkenaan.

Norhana Basiran . Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

JSP yang kini dikenali sebagai Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) membuka semula tirainya hujung minggu ini bagi mempromosi pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat.

Daerah Klang menjadi lokasi pertama penganjuran acara yang bermula 9 pagi hingga 5 petang itu.


Pengarang :