EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud bercakap ketika sidang media pengumuman Operasi Bersepadu Denggi Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 16 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Operasi tangani denggi negeri fokus empat daerah catat kes tinggi

SHAH ALAM, 16 FEB: Kerajaan Negeri melaksanakan Operasi Bersepadu Denggi Selangor (OBDS) bagi memastikan pengurusan pengawalan kes demam denggi di negeri ini lebih berkesan dan menurunkan jumlah kes.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata OBDS dilaksana bermula semalam hingga 22 Mac depan memfokus di kawasan yang mencatatkan kumulatif kes tertinggi iaitu Petaling, Hulu Langat, Klang dan Gombak.

“Dengan peruntukan hampir RM1 juta program ini bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat setempat berhubung demam denggi melalui pelbagai pendekatan termasuk pengagihan penghalau nyamuk, semburan aerosol selain aktiviti penguatkuasaan dari rumah ke rumah untuk menghapus tempat pembiakan denggi.

“OBDS akan melibatkan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi sukarelawan berkaitan denggi seperti Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) dan Communication for Behaviourial Impact (COMBI),” katanya pada sidang media pelaksanaan OBDS di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Selain itu, katanya antara langkah yang akan dilaksanakan sepanjang tahun bagi memerangi denggi di negeri ini termasuk pertandingan bebas denggi di peringkat komuniti.

“Selain itu, penyaluran dana kepada agensi sukarelawan berkaitan seperti SUKA, COMBI atau persatuan penduduk untuk melaksanakan aktiviti pembasmian tempat pembiakan, semburan termal selain pemakluman setiap lokaliti panas denggi supaya penduduk mengambil langkah pencegahan segera.

“Aktiviti penguatkuasaan dari rumah ke rumah untuk menghapus tempat pembiakan denggi akan turut digiatkan yang mana jika ada rumah yang dikesan menjadi tempat pembiakan denggi mereka boleh dikenakan kompaun RM500,” katanya.


Pengarang :