EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) pada sidang media pengumuman Operasi Bersepadu Denggi Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 16 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEXCONASIONAL

Cegah, kawal elak kes denggi Selangor meningkat pada 2024

SHAH ALAM, 17 FEB: Selangor dijangka berdepan peningkatan mendadak kes demam denggi pada tahun depan jika langkah pencegahan awal dan kawalan tidak dilaksanakan, kata EXCO Kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata berdasarkan kitaran demam denggi yang berlaku di Malaysia dalam tempoh 20 tahun berlaku peningkatan kes yang tinggi setiap empat hingga lima tahun.

“Setiap lima tahun ia (kes) dijangka memuncak. Kali terakhir adalah pada 2019 sebanyak 72,543 kes direkodkan jadi pada 2024 kita jangka berlaku lagi (jika tidak dikawal dari sekarang).

“Sehingga 11 Februari lalu sebanyak 6,870 kes direkodkan dengan peningkatan 141.4 peratus berbanding tempoh sama 2022,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan Operasi Bersepadu Denggi Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Beliau berkata jumlah kematian akibat denggi yang tinggi juga direkodkan pada 2019 iaitu 56 kematian diikuti 2020 (37 kematian), 2021 (dua) (2021); 2022 (14) dan dua kematian bagi tahun ini sehingga Januari lalu.

“Lima daerah di Selangor menunjukkan kumulatif kes denggi tertinggi di antara 10 daerah di Malaysia.

“Daerah Petaling, Hulu Langat, Klang dan Gombak adalah empat daerah kumulatif denggi tertinggi manakala Hulu Selangor kelapan tertinggi secara keseluruhan,” katanya.


Pengarang :