AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pihak guna logo, palsu dokumen Mais berdepan tindakan undang-undang

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 17 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan mengambil tindakan terhadap organisasi atau individu yang mengguna pakai logo dan memalsukan dokumen melibatkan agensi itu bagi tujuan menyalahi undang-undang atau mengelirukan orang ramai.

Setiausahanya berkata perkara itu dikesan susulan pendedahan media dan aduan daripada syarikat swasta yang menerima pesanan pembelian (PO) dan invois menggunakan kepala surat rasmi berlogo MAIS bagi mendapatkan dana projek pembekalan bantuan bakul makanan.

Dr Ahmad Shahir Makhtar. Foto Majlis Agama Islam Selangor

Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata hasil semakan pihaknya mendapati kedua-dua dokumen terbabit adalah palsu.

“Mais tidak terlibat dengan projek pembekalan bakul makanan serta tidak pernah melantik mana-mana pihak menjadi ejen untuk projek bantuan berkaitan.

“Mais memandang serius insiden pemalsuan dokumen dengan menggunakan logo Mais dan akan membuat laporan polis agar siasatan dan tindakan tegas dapat diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pihak yang melakukan jenayah pemalsuan dokumen boleh dipenjara tujuh tahun dan dikenakan denda di bawah seksyen 468 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Beliau berkata perbuatan pemalsuan dokumen melibatkan Mais adalah jenayah serius kerana menjejaskan imej agensi itu dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada umat Islam khususnya di Selangor.

“Mais menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dengan penipuan pihak yang menggunakan nama Mais untuk mendapatkan sumbangan dan apa-apa kepentingan lain,” katanya.

Orang awam boleh mendapatkan pengesahan atau merujuk Mais menerusi talian 03-5515 3400 atau e-mel [email protected] sekiranya terdapat perkara meragukan.


Pengarang :