SEPANG, 17 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 3,000 jemaah di Masjid Taman Putra Perdana, di sini hari ini.
Ketibaan beliau pada jam 1.25 tengah hari diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amiruddin Shari dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat Borhan Aman Shah.
Anwar turut mendengar khutbah bertajuk ‘Israk Mikraj: Amanah dan Tanggungjawab Solat’ yang disampaikan imam masjid Muhammad Syazwan Hilmi.
Selesai solat, Anwar meluangkan masa bersalaman dengan jemaah serta bertemu ahli jawatankuasa masjid, sebelum berangkat pulang.
Terdahulu, Anwar menikmati makan tengah hari di pusat penjaja Taman Putra Perdana, yang terletak 1.1 kilometer (km) dari masjid.
Kehadiran pemimpin nombor satu negara itu disambut meriah oleh pengunjung yang teruja mahu bergambar, beramah mesra dan bersalaman dengannya.