EXCO Pembangunan Luar Bandar, Borhan Aman Shah menyampaikan beg sekolah ketika program Kembali ke Sekolah pada Jelajah Kita Selangor Penyanyang daerah Hulu Selangor di Oasis Batang Kali, Hulu Selangor pada 19 Februari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ibu terharu anak dapat bantuan sekolah, bukti keprihatinan negeri

HULU SELANGOR, 20 FEB: Seorang ibu tunggal terharu apabila anak bongsunya terpilih antara 50 pelajar daerah ini menerima bantuan beg sekolah dan wang tunai RM100 sumbangan Kerajaan Selangor.

Sarina Mohd Sari, 46, berkata bantuan melalui program Jom Balik Ke Sekolah menggembirakan Mohamad Abid Darwis Jamil yang bakal memasuki sekolah menengah Mac ini.

“Sebelum ini dia pernah menerima sumbangan berbentuk peralatan sekolah tetapi kali ini dapat sekali dengan wang tunai. Alhamdulillah sedikit sebanyak boleh digunakan untuk perbelanjaan sekolah dia (Abid) nanti.

Sarina Mohd Sari

“Bantuan seperti ini sememangnya meringankan beban saya kerana harga peralatan sekolah mahal sekarang,” katanya yang menetap di Sungai Chua, Rawang.

Terdahulu, bantuan disampaikan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang di Oasis Batang Kali semalam.

M Annaletumya

Bagi M Annalethumya, 43, sumbangan tersebut mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap ibu bapa yang memiliki ramai anak bersekolah.

Tambahan pula, ibu empat anak berkata pendapatannya sebagai operator di Genting Highlands sekadar cukup makan selain perlu menampung kos perubatan suami yang menghidap sakit jantung.

“Semua anak saya masih bersekolah dan hari ini anak bongsu saya R Dashwin yang berumur 12 tahun terpilih mendapat bantuan. Saya menghargai dan berterima kasih atas sumbangan diberikan.

“Tanpa perhatian Kerajaan Negeri pasti sukar untuk saya buat persiapan sekolah anak memandangkan kos persiapan sekolah anak pada tahun-tahun sebelum ini RM300 seorang,” katanya.


Pengarang :