Anggota Jabatan Perkhidmatan Kesihatan menyerahkan kompaun terhadap individu yang membuang sampah di lokasi kawalan dalam Ops Statik pada 18 dan 19 Februari 2023. Foto Facebook MPK
PBTSELANGOR

Lapan individu buang sampah sekitar Klang ditahan dalam Ops Statik MPK

SHAH ALAM, 20 FEB: Tindakan lapan individu membuang sampah domestik dan pukal di lokasi kawalan sekitar Klang Selatan mengundang padah apabila ditahan pihak berkuasa tempatan.

Pengarah komunikasi korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkata mereka dikompaun dalam Ops Statik dijalankan Jabatan Perkhidmatan Persekitaran di dua lokasi berasingan pada 18 dan 19 Februari.

“Intipan pasukan pada Sabtu berjaya menahan tiga individu yang membuang sampah di Jalan Dato’ Abdul Hamid 5, Taman Sentosa. Tiga kompaun dikeluarkan kepada individu berusia antara 38 hingga 59 tahun.

“Lima kompaun dikeluarkan pada Sabtu kepada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 36 hingga 64 tahun yang membuang bungkusan makanan serta sampah domestik di Jalan Hulubalang 29, Taman Sentosa,” kata Norfiza Mahfiz dalam kenyataan.

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 47(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan operasi penguatkuasaan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada ‘kutu sampah’ yang menimbulkan masalah kebersihan.

“Masyarakat perlu ada kesedaran untuk menjadi individu yang bertanggungjawab dalam hal kebersihan bukannya menjadi ‘watak’ pengotor di dalam komuniti tempat tinggal,” katanya.

 


Pengarang :