Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan yang dijual murah berbanding harga pasaran di Jelajah Ehsan Rakyat DUN Gombak Setia di Gombak pada 20 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jimat belanja Ramadan, PKPS dicadang tambah jenis barangan jualan murah

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 20 FEB: Pengunjung jualan murah mencadangkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjual barangan kering di setiap program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) terutama pada bulan Ramadan.

Muhammad Ismail Mohd Ghazalan. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Muhammad Ismail Mohd Ghazalan, 40, berkata selain enam jenis barangan asas, barangan kering seperti gula, tepung dan mentega diperlukan untuk membuat kuih.

“Kalau dapat beli bahan murah dapat meringankan belanja mereka yang suka membuat kuih sendiri terutama untuk berbuka puasa.

“Dah tiga kali saya berbelanja dalam program ini memang betul-betul jimat. Hari ini saya beli dua kampit beras, dua ekor ayam, dua pek daging, dua pek ikan dan sepapan telur dengan harga RM82 sahaja,’’ kata pembantu jurutera itu ketika ditemui dalam program JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia di Pangsapuri Sri Harmonis hari ini.

Muhammad Zahiruddin Mohd Bakri. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Muhammad Zahiruddin Mohd. Bakri, 25, dari Batu 11 di sini, juga bersetuju jika PKPS menjual barangan kering di setiap program JER kerana lebih menjimatkan wang dan masa pembeli.

“Jika kita boleh beli barangan asas dan barangan kering seperti gula, kicap dan sardin di satu tempat sahaja dengan harga murah memang jimat banyak.

“Saya juga harap jualan murah seperti ini dapat diadakan setiap minggu ketika bulan puasa,’’ katanya yang berbelanja RM30 untuk membeli telur, ayam dan daging hari ini.

Maimon Ismail. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Maimon Ismail, 72, pula mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana memberi layanan baik kepada warga emas yang berkunjung ke jualan murah.

“Kami diberikan tempat duduk di bawah khemah dan diberi nombor giliran khas jadi tidak perlu menunggu lama.

“Saya juga dapat beli set barangan murah (semua barangan asas) dengan harga RM71 sahaja,’’ katanya yang berjalan kaki kira-kira 20 minit dari rumahnya di Kampung Tengah untuk ke program JER hari ini.

JER menawarkan barangan seperti ayam standard berharga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS atau Facebook PKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Petugas membuat persediaan sebelum bermula jualan Jelajah Ehsan Rakyat DUN Gombak Setia di Gombak pada 20 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI


Pengarang :