Norma Salleh, Nor Azizah Abdul Rani dan Zarina Mamat tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan harian rumah di Jelajah Ehsan Rakyat di Tapak pasar malam Alam Jaya, Kuala Selangor pada 20 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Suri rumah teruja berbelanja di jualan murah, akui barangan berkualiti, segar

Oleh DIANA ABD WAHAB

KUALA SELANGOR, 20 FEB: Seorang suri rumah yang pertama kali mengunjungi jualan murah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengakui teruja melihat barangan keperluan asas ditawarkan berkualiti dan segar.

Normah Saleh, 60, yang mengunjungi Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram hari ini tidak melepaskan peluang membeli barangan dapur selepas mendapati harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding di pasaran.

“Saya dapat tahu semua barang kecuali minyak masak dijual pada harga RM10 setiap satu. Memang terkejut sebab harga terlalu murah.

“Di luar biasanya harga ayam hampir RM20 seekor di sini hanya RM10, dapat jimat separuh harga. Patutlah ramai yang menantikan program ini memang bantu jimatkan perbelanjaan,” katanya yang mendapat maklumat mengenai jualan berkenaan menerusi kumpulan WhatsApp.

Sementara itu, peniaga, Ballamalar Subramaniam, 40, berkata ini merupakan kali kedua beliau berkunjung ke jelajah jualan murah yang diadakan di DUN berkenaan.

“Sejujurnya saya memang menantikan program ini. Teruja dapat peluang berbelanja barangan dapur pada harga murah.

“Di sini harga murah tetapi barangan segar besar dan berkualiti. Telur gred B hanya berharga RM10 sedangkan di luar gred C dijual RM12 sepapan. Lebih untung berbelanja di sini,” katanya.

Bagi juruteknik, Mohd Nazri Asmawi 45, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin dengan situasi ekonomi semasa yang semakin menekan rakyat.

“Program dianjurkan Kerajaan Negeri memang banyak bantu rakyat berjimat kerana harga barangan di pasaran ketika ini melambung tinggi kerana ketidakstabilan ekonomi dunia.

“Saya harap program ini jadi program tetap dan diadakan di pelbagai lolasi kerana masih ramai yang terkesan dan belum dapat pekerjaan. Program sebegini selurang-kurangnya dapat bantu mereka dapat jimatkan perbelanjaan harian,” katanya.

Manakala pesara Mariam Daud, 74, berkata beliau semenangnya menunggu program jualan murah itu dianjurkan di DUN Jeram.

“Makcik sudah enam kali sertai program ini. Harga murah tetapi barang segar dan berkualiti. Memang makcik beli barang untuk persediaan Ramadan.

“Seronok dan selesa beli barang di sini kerana warga emas tak perlu beratur malah petugas bantu hantar barang kalau kena beratur dan bawa barang sendiri memang susah kerana makcik bertongkat,” katanya.

Orang beratur untuk membeli barangan dapur yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di tapak pasar malam Alam Jaya, Kuala Selangor pada 20 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Jualan murah kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei depan.


Pengarang :