Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika waktu pertanyaan menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di bangunan Parlimen pada 21 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Jumlah wang akaun luar pesisir Malaysia antara tertinggi di dunia, jamin siasatan menyeluruh

SHAH ALAM, 21 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan jumlah wang yang dibawa keluar dari negara ini untuk disembunyikan di akaun luar pesisir adalah antara tertinggi di dunia.

Anwar berkata ia berdasarkan pendedahan laporan Integriti Kewangan Global (GFI) dan Kertas Pandora yang menunjukkan Malaysia pada kedudukan agak tinggi bersama beberapa negara lain.

“Jumlah dari laporan GFI dulu sehingga Kertas Pandora, dari Malaysia itu agak tinggi jika dibanding dengan jumlah penduduk dan kedudukan ekonomi.

“Wang yang dibawa keluar dari sumber haram, kebanyakannya agak tinggi bagi negara ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin mengetahui adakah kerajaan akan menyiasat semua akaun luar pesisir, termasuk dana politik dari luar negara.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata beliau memberi jaminan untuk menyiasat semua pihak yang melarikan diri daripada cukai, tanpa mengira kedudukan.

“Semua yang lari dari cukai, haruslah disiasat. Tidak terkecuali dari dalam dan luar negara, dan beberapa tindakan sudah pun diambil.

“Tapi saya beri jaminan, dari sudut badan-badan, arahan daripada saya itu jelas. Jangan ambil sambil lewa. Negara tak mampu lagi untuk izinkan hal ini berterusan,” katanya.

Kertas Pandora sebelum ini mendedahkan kira-kira 12 individu, termasuk empat ahli politik di Malaysia dipercayai antara puluhan pemimpin dari seluruh dunia yang menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar.

Pada 2021, Anwar pernah mengusulkan untuk membahaskan isu Kertas Pandora di Parlimen namun ditolak Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Datuk Azhar Azizan.


Pengarang :