Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika Waktu Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Siasatan Kertas Pandora diteruskan, tindakan tegas jika jumpa bukti

SHAH ALAM, 21 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan berhubung penglibatan beberapa tokoh negara dan individu dalam isu Kertas Pandora diteruskan dengan rapi.

Anwar berkata tindakan tegas akan diambil menerusi agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pihak polis jika ada penemuan bukti.

“Sebab itu arahan saya untuk teruskan siasatan dengan cukup rapi. Saya mohon semua termasuk ahli parlimen di sini, ambil tindakan tegas.

“Jangan melindungi sebaik saja ada siasatan, (malahan) terus (mahu) dipertikai (tindakan siasatan). Kalau ada bukti, ada fakta, maka tindakan diambil,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berhubung pendirian kerajaan mengenai isu Kertas Pandora dan sejauh manakah siasatan dan tindakan susulan kerajaan.

Kertas Pandora sebelum ini mendedahkan kira-kira 12 individu, termasuk empat ahli politik di Malaysia dipercayai antara puluhan pemimpin dari seluruh dunia yang menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar.

Pada 2021, Anwar pernah mengusulkan untuk membahaskan isu Kertas Pandora di Parlimen namun ditolak Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan.


Pengarang :