Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Sabirin Mohd Sarbini bergambar bersama penerima bantuan pendidikan sekolah Lembaga Zakat Selangor tahun 2023 di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 21 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS peruntuk lebih RM32 juta bantu persekolahan 67,798 pelajar asnaf

SHAH ALAM, 21 FEB: Seramai 67,798 pelajar prasekolah hingga menengah dalam kalangan keluarga asnaf menerima bantuan persekolahan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS berkata sebanyak RM32.6 juta diperuntukkan kepada asnaf fakir dan miskin serta mualaf meliputi bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan.

“Bantuan diagihkan melibatkan 899 murid prasekolah, 37,679 (sekolah rendah kebangsaan/sekolah rendah agama) dan 36,894 (sekolah menengah kebangsaan/sekolah menengah agama).

“Setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan menerima kelengkapan sekolah pada kadar RM170, sekolah rendah agama (RM150) dan sekolah menengah dan sekolah menengah agama (RM200),” kata Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Beliau ditemui selepas program simbolik Bantuan Pendidikan Sekolah LZS 2023 yang disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Mohd Sabirin berkata bantuan yuran persekolahan antara RM100 hingga RM200 seorang turut diberi bergantung kepada tahap persekolahan selain bantuan tambahan berjumlah RM100 kepada semua pelajar asnaf bagi menampung keperluan persekolahan lain.

“Setiap anak yang menerima bantuan diwajibkan membeli sepasang pakaian seragam sekolah dan selebihnya mereka bebas membuat penebusan kelengkapan lain termasuk beg, kasut, stokin, alat tulis serta baju ko-kurikulum.

“Pemberian bantuan persekolahan ini diagihkan setiap tahun bagi meringankan beban asnaf yang bendaftar dengan LZS terutama dalam menyediakan kelengkapan persekolahan dan menampung kos yuran untuk anak-anak mereka.

“LZS amat memberikan penekanan kepada aspek pendidikan dalam kalangan anak asnaf dan menjadi keutamaan kami memastikan pembangunan pendidikan diperkasa supaya dapat memacu kecemerlangan ummah amnya dan asnaf khususnya,” katanya.


Pengarang :