Wakil rakyat Meru Mohd Fakhrulrazi Mokhtar menyerahkan sijil tamat sekolah kepada pelajar ketika majlis apresiasi di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai pada 15 Februari 2023. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat DUN Meru
ADNSELANGOR

420 pelajar DUN Meru terima bantuan kembali ke sekolah

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 21 FEB : Sebanyak 420 pelajar sekolah rendah dan menengah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru akan menerima bantuan kembali ke sekolah pada Mac ini.

Wakil rakyat Meru berkata 300 pelajar akan mendapat wang tunai RM100 setiap seorang tajaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan 100 pelajar menerima baucar Pusat Pakaian Hari-Hari bernilai RM100 sumbangan DUN.

Menurut Mohd. Fakhrulrazi Mokhtar 20 pelajar lagi akan menerima wang tunai RM150 daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).

“Kesemua pelajar ini merupakan golongan kurang berkemampuan yang keluarga mereka tidak menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

“Bantuan akan diberikan secara berperingkat sebelum sesi persekolahan dibuka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Fakhrulrazi menjelaskan, sumbangan ini bertujuan meringankan beban ibu bapa dan memberi keselesaan kepada pelajar untuk mendapatkan pakaian sekolah lebih baik serta peralatan sekolah yang sesuai bagi membantu pembelajaran mereka

“Dalam masa sama kita juga ambil peluang memberi nasihat dan motivasi kepada pelajar untuk pastikan mereka dapat memberi tumpuan pada pelajaran selain salurkan masalah untuk kita bantu,” jelas beliau.

Mengenai bantuan MBI, perbadanan itu menyediakan peruntukan RM30,000 untuk setiap DUN bagi meringankan beban keluarga B40 dalam menyediakan keperluan sekolah.

 


Pengarang :