AGENDANASIONAL

Perkeso hasrat jalin kerjasama dengan wakil rakyat, galak suri rumah daftar skim perlindungan

SUBANG JAYA, 21 FEB: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal bekerjasama dengan Ahli Dewan Negeri bagi menggalakkan suri rumah mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Pengarah Perkeso Selangor berkata menerusi inisiatif itu, golongan berkenaan akan dilindungi insurans sekiranya mengalami bencana sewaktu melakukan urusan rumah tangga.

Ismail Abi Hashim berkata sejak skim dilancarkan Disember tahun lalu, tiga pencarum di negeri ini yang meninggal dunia sudah menerima manfaat.

Pengarah Perkeso Selangor Ismail Abi Hashim. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Kes berlaku di Petaling Jaya, Tanjong Karang dan Klang. Semua suri rumah ini meninggal dunia akibat sakit. Mereka sempat membuat caruman RM120 setahun jadi layak mendapat bantuan.

“Kita serahkan faedah bulanan berjumlah RM300 kepada suaminya sehingga berusia 55 tahun. Jika tiada suami, bantuan berterusan sehingga anak bongsu berusia 21 tahun selain wang khairat kematian RM2,000,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan wang pengurusan jenazah dan kotak prihatin kepada Siti Zubaidah Omar yang kehilangan suami akibat kemalangan awal bulan ini.

Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Kinrara Rachel Lee (tiga kanan) menyerahkan bayaran Perkeso kepada balu arwah Mohd Zaidi Kamaruddin. Turut hadir Pengarah Perkeso Selangor Ismail Abi Hashim (kiri) pada majlis penyerahan bayaran Perkeso di Taman Puchong Perdana, Subang Jaya pada 21 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Ismail berkata perlindungan terbabit turut ditawar kepada remaja perempuan yang masih bersekolah namun menggantikan tugas ibu mengurus keluarga.

“Apa juga kemalangan yang berlaku macam cedera ketika memasak, menghantar anak ke sekolah, pergi beli barang. Semua akan dilindungi,” katanya.

Pada 10 Februari, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar memaklumkan hampir 150,000 suri rumah mencarum skim berkenaan setakat hujunv Januari.

SKSSR memberi perlindungan kepada suri rumah menerusi faedah hilang upaya kekal, perubatan dan pemulihan, elaun keuzuran, bantuan dialisis, pencen penakat dan pengurusan mayat.

Semua suri rumah berusia bawah 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, serta berkahwin atau bujang layak untuk menyertai skim itu dengan caruman RM120 bagi tempoh 12 bulan.


Pengarang :