Lembaga Urus Air Selangor memantau Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 pada 21 Februari 2023. Rutin berkenaan dilakukan setiap hari bagi memastikan ia mampu menampung bekalan air mentah alternatif selama 100 hari pada musim kemarau selain menangani permasalahan kualiti air ketika pencemaran. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENSISELANGOR

LUAS sentiasa pantau, pastikan sistem sokongan mampu tampung bekalan air mentah ketika kemarau

SHAH ALAM, 21 FEB: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sentiasa memantau Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 bagi memastikan kuantiti dan kualiti bekalan air mentah terjamin.

Agensi itu turut melakukan pemantauan dan semakan di kolam-kolam sumber air alternatif yang lain bagi memastikan ia boleh digunakan pada bila-bila masa diperlukan.

“HORAS 600 adalah satu komponen Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) oleh Kerajaan Negeri. Air mentah alternatif daripada HORAS 600 ini akan dialirkan ke Sungai Selangor bagi meningkatkan paras aliran sungai dan mengurangkan pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi.

“HORAS 600 mampu menampung bekalan air mentah alternatif selama 100 hari pada musim kemarau dan pada masa sama boleh digunakan untuk meningkatkan kadar pencairan di dalam air sungai bagi menangani permasalahan kualiti air mentah (pencemaran),” katanya di Facebook.

Lembaga Urus Air Selangor memantau Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 dan kolam sumber air alternatif setiap hari bagi memastikan ia mampu menampung bekalan air mentah selama 100 hari pada musim kemarau selain menangani permasalahan kualiti air ketika pencemaran. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 menggariskan empat langkah mengatasi gangguan bekalan air.

Katanya, langkah tersebut meliputi projek perintis rawatan teknologi nano bagi merawat air Sungai Gong dan menambah bilangan stesen telemetri kualiti air bagi sistem amaran awal di hulu muka sauk.

Turut dilaksanakan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan HORAS dan Kolam Takungan Hiliran (ORS) di Bestari Jaya serta pemantauan dan pengawasan 24 jam di kawasan sensitif.


Pengarang :