Pengasas Raxbit Rafiq Sharman membimbing peserta yang mengikuti Bengkel Bina Games di Pustaka Raja Uda, Shah Alam pada 21 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Anak muda disaran bangun permainan e-sukan, peluang jana pendapatan lumayan

SHAH ALAM, 21 FEB: Orang ramai terutamanya anak muda disaran meneroka industri pembangunan permainan e-sukan sebagai kerjaya memandangkan potensinya yang sangat meluas di negara ini.

Pengasas dan pengurus syarikat aplikasi mudah alih tempatan RaxBit berkata evolusi perisian ketika ini memudahkan sesiapa sahaja mencipta permainan sendiri tanpa pengekodan namun mampu menjana pendapatan lumayan.

Pengasas Raxbit Rafiq Sharman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Industri permainan di Malaysia sangat meluas terutama e-sukan, begitu juga industri pembangunan permainan yang boleh dijadikan kerjaya buat anak-anak muda.

“Dengan peredaran teknologi, kita sebenarnya boleh mencipta permainan sendiri yang nampak premium walaupun tanpa pengekodan, asalkan ada minat dan kreativiti,” kata Rafiq Sharman.

Beliau ditemui pada bengkel Bina Games anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang disertai 25 pelajar sekolah rendah di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini hari ini.

Rafiq berkata program dari 8 pagi hingga 5.30 petang itu mendedahkan peserta kepada kaedah mencipta permainan pengembaraan dengan menggunakan perisian BillBox.

“Diharapkan pada akhir sesi nanti, peserta tahu bagaimana mahu buat permainan sendiri, bukan sekadar tahu main permainan semata-mata,” katanya.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (berdiri, dua kiri) dan Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Suzliana Abd Hamid menyantuni peserta Bengkel Bina Games di Pustaka Raja Uda, Shah Alam pada 21 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :