Peserta dan tetamu Program Foodie Technoprenuership Challenge anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan Unisel Kampus Shah Alam bergambar kenangan selepas program pada 15 Februari 2023. Foto Unisel
AGENDANASIONAL

Kumpulan Mangga Shushu Thai juara program cabaran usahawan perniagaan Unisel

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 22 FEB: Kumpulan Mangga Shushu Thai muncul juara program Foodie Technoprenuership Challenge anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan Unisel Kampus Shah Alam di sini pada 15 Februari lalu.

Dalam pertandingan di Dewan Pro-Chancelor Unisel Shah Alam di sini lima anggota kumpulan tersebut yang menghasilkan air mangga susu mengalahkan 18 kumpulan lain serta membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan hamper.


Pencuci mulut yang dihasilkan kumpulan Mini Tarts Paradise dalam program Foodie Technoprenuership Challenge anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan Unisel Kampus Shah Alam pada 15 Februari 2023. Foto Unisel

Kumpulan Pani Puri & Ramel Roll yang menghasilkan roti puri dan popia ramen pula mendapat tempat kedua dengan membawa pulang wang tunai RM200 serta hamper sementara Cheeskut.KL yang menghasilkan kek biskut keju di tempat ketiga (RM100 dan hamper).

Pengarah program Foodie Technoprenuership Challenge berkata kesemua produk makanan yang dihasilkan dalam pertandingan itu dicipta peserta sendiri.

“Mereka diberi masa dua minggu untuk mencipta resepi makanan dan membentangkannya di hadapan juri pada hari pertandingan.

“Mereka juga perlu memasarkan produk yang dihasilkan di platform media sosial pada hari tersebut,” kata Ahmad Zarif Haikal Mohd Nazaruddin ketika dihubungi.

Program anjuran pelajar kursus Pengurusan Projek, Fakulti Pengurusan Perniagaan Unisel Kampus Shah Alam itu dirasmikan Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Sumber, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Norliana Ahmad Shah.

Kumpulan BTK bersama brownies yang dihasilkan mereka dalam program Foodie Technoprenuership Challenge anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan Unisel Kampus Shah Alam pada 15 Februari 2023. Foto Unisel

Pempengaruh yang juga alumni Unisel, Muhd Fitri Jamil atau dikenali Abang Foodie merupakan tetamu jemputan serta salah seorang juri pertandingan.

Ahmad Zarif berkata program itu adalah platform untuk memupuk sikap kerjasama dan saling bertanggungjawab selain meningkatkan keupayaan kepemimpinan dalam kalangan pelajar.

“Program ini juga mendidik pelajar mengendalikan projek dengan sistematik dan mengaplikasi segala ilmu yang dipelajari bersama selain mendedahkan kebolehan mereka kepada orang ramai,” katanya.

 


Pengarang :