Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual di program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Sungai Kayu Ara pada 22 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Perniagaan tutup, suri rumah lega jualan murah ringankan beban

Oleh SHAMZ JOHAN

PETALING JAYA, 22 FEB: Selepas perniagaan ayam gorengnya ditutup pada 2021, kehidupan suri rumah bersama empat anaknya hanya mengharapkan pendapatan suami.

Mazita Mohd Yusof, 47, berkata suaminya bekerja kerani dan mereka tidak mampu menyimpan berikutan kos hidup ketika ini semakin meningkat.

Mazita Mohd Yusof. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Ketika berniaga, saya dapat bantu suami tetapi selepas bisnes ditutup akibat kenaikan kos bahan mentah, kami tak dapat menyimpan.

“Kos semakin meningkat, cukup bayar bil dan komitmen saja. Dengan adanya program ini (Jelajah Ehsan Rakyat), ia sangat membantu kami terutama menjimatkan belanja dapur apatah lagi dengan empat anak yang semakin membesar,” katanya.

Mazita ditemui dalam program JER peringkat DUN Bandar Utama di Padang PKNS, Kampung Sungai Kayu Ara hari ini.

Lebih 500 penduduk mengunjungi program berkenaan untuk mendapatkan pelbagai barangan murah seperti ayam, daging, telur, ikan, minyak masak dan beras.

Sementara itu pekerja kedai dobi sanggup menunggang motosikal ke pelbagai lokasi program JER untuk membeli pelbagai barangan keperluan asas pada harga murah.

Antara lokasi JER yang dikunjungi Siti Naquiah Abd Razak, 35, dari Bandar Utama dekat sini ialah JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras kira-kira 30 minit dari rumahnya.

Siti Naquiah Abd Razak, 35, menunjukkan skrin yang memaparkan jadual program Jelajah Ehsan Rakyat bagi mendapatkan barangan asas murah di program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Sungai Kayu Ara pada 22 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Menurutnya setiap kali mengunjungi JER, dia membawa beg untuk mengisi barangan yang dibeli.

“Saya isi ayam, ikan ke dalam beg ini, ada ketika ahli keluarga yang bekerja minta bantuan membelikan ayam atau beras, saya isikan semua sekali.

“Saya tak kesah ke lokasi DUN lain kerana selagi boleh jimat, saya berjimat,” katanya.

Khairuddin Yasit, 22, berkata dengan kenaikan kos sara hidup, JER yang menawarkan barangan murah sangat diperlukan kebanyakan keluarga.

“Kami sekeluarga turut terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. Program ini sangat diperlukan kerana barangan dijual terutama ayam yang merupakan makanan utama sangat murah. Mana hendak dapat di tempat lain?” katanya.

Khairuddin Yasit. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

JER menawarkan pelbagai barangan keperluan seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :