Pengundi membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya pada 19 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SPR sahkan tiada PRK DUN Batang Kali

PUTRAJAYA, 22 FEB: Tiada pilihan raya kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Selangor, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata SPR telah menerima pemakluman daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ng Suee Lim melalui surat semalam berhubung status kekosongan luar jangka kerusi DUN Batang Kali selepas diisytiharkan kosong di bawah Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Ikmalrudin berkata berdasarkan kepada Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Bab 5 Perkara LXX (5), Speaker Dewan Negeri Selangor telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka itu.

“Selaras dengan itu, tiada PRK Bahagian Pilihan Raya Negeri N07 Batang Kali, Selangor akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 16 Februari lepas, Speaker DUN Selangor mengisytiharkan kerusi DUN Batang Kali kosong berkuat kuasa 28 Januari lepas ekoran penyandangnya Harumaini Omar daripada parti Pejuang tidak hadir ke sidang DUN Selangor melebihi tempoh enam bulan.

Harumaini didapati tidak hadir tanpa kebenaran Speaker pada keseluruhan Persidangan Dewan dari 23 hingga 30 November 2022, 1 hingga 2 Disember 2022 dan 5 hingga 6 Disember 2022.

– BERNAMA


Pengarang :