SHAH ALAM, 23 FEB: Orang ramai dipelawa memeriahkan Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di daerah Gombak dan Kuala Selangor hujung minggu ini.
Program pada Sabtu akan berlangsung di Tapak Bazar Ramadan, Taman Melawati manakala acara pada Ahad di Dataran Esplanade, Eco Grandeur, Puncak Alam.
Sabtu lalu, JKSP membuka tirainya di Pangsapuri Seri Perantau, Klang diikuti Oasis Batang Kali, Hulu Selangor (Ahad) dan akan diteruskan ke lapan daerah sehingga Mac nanti.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/02/JSKP9-500x322.jpg)
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata program berkenaan berskala lebih kecil berbanding Jelajah Selangor Penyayang (JSP) yang dianjur tahun lalu yang menghebahkan insentif kepada penduduk.
Maklum Dato’ Seri Amirudin Shari, program sehari dari 9 pagi hingga 5 petang menyediakan beberapa acara antaranya saringan kesihatan percuma, jualan barangan asas murah, pameran dan acara sukan.
Jelajah yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sebelum ini dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta bagi memberi manfaat kepada rakyat Selangor.