Kerosakan paip pembentungan di Jalan Ampang Putra, Taman Putra Sulaiman yang menyebabkan pembentukan lubang besar hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya. Foto MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ tangani isu paip pembentungan rosak, elak ancam keselamatan pengguna

SHAH ALAM, 23 FEB: Isu kerosakan paip pembentungan di Jalan Ampang Putra, Taman Putra Sulaiman, Ampang yang berlarutan sejak Mei lalu mendapat perhatian Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Bahagian perhubungan awam dan sekretariatnya berkata pihaknya melaksanakan kerja pembaikan paip di lokasi terbabit susulan kegagalan pemilik persendirian Badan Pengurusan Bersama (JMB) Ampang Putera Residensi menangani isu itu.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan kerja pembaikan meliputi paip, longkang dan struktur jalan bermula kelmarin dengan jangkaan selesai pada esok.

“MPAJ melantik kontraktor bertauliah seperti disyor Indah Water Konsortium (IWK) untuk melaksanakan kerja pembaikan yang menyebabkan mendapan jalan dan pembentukan lubang besar berukuran 10 meter x 5 meter.

“Ia juga bagi mengelakkan kerosakan jalan yang lebih teruk dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya serta merosakkan infrastruktur awam,” katanya dalam kenyataan.

Jabatan itu menambah pihaknya akan menuntut semula kos kerja pembaikan daripada JMB terbabit menerusi perundangan.

“JMB itu telah diarah memastikan kerja pembaikan dilaksanakan segera, namun sehingga awal tahun ini masalah kerosakan paip di bawah permukaan jalan masih gagal diselesaikan,” katanya.

Orang ramai yang mahu membuat aduan infratruktur atau kemudahan awam boleh berbuat demikian melalui pautan https://mpaj.spab.gov.my/eApps/system/index.do


Pengarang :