Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Pandan Indah di Kampung Cheras Baru, Ampang Jaya pada 23 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

500 penduduk DUN Pandan Indah serbu jualan murah, beratur seawal 8 pagi

OLEH AZIAN AZIZ

CHERAS, 23 FEB: Lima barangan asas yang ditawarkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dalam program jualan murah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di Kampung Cheras Baru habis dijual hari ini.

Pengurus Pembangunan Ekonomi Sabak Bernam Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Nor Asilah Atdenan berkata ayam, telur dan beras habis awal sementara barangan lain dijual sebelum perniagaan ditutup kira-kira jam 12 tengah hari.

“Lebih 500 pengunjung membeli di jualan murah hari ini. Mereka datang secara berperingkat dan ada yang telah menunggu seawal 8 pagi untuk beratur.

“Seperti biasa kita buka perniagaan pukul 10 pagi dan tutup jualan pada pukul 12 tengah hari kerana semua barangan kecuali 15 botol minyak masak telah habis dijual,” katanya ketika ditemui dalam program jualan murah di Kampung Cheras Baru hari ini.

Menurut Nor Asilah pihaknya juga mendapati ramai pengunjung yang membawa beg guna semula untuk mengisi barangan yang dibeli.

“Ini menunjukkan kesedaran mereka untuk mengurangkan penggunaan beg plastik. Namun masih ada yang masih membeli beg plastik tambahan daripada kita kerana tidak membawa beg sendiri,” katanya.

Program jualan murah dikenali Jelajah Ehsan Rakyat (JER) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program kendalian PKPS itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS atau Facebook PKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :