EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim (kiri) dan Presiden Dassault Falcon Asia-Pacific Jean Michel Jacob (kanan) bergambar di hadapan jet perniagaan Falcon 8X di Pusat Penerbangan Serantau (RAC), Shah Alam pada 23 Februari 2023. Foto RAFIQAH RAUF/SELANGORTV
AGENDANASIONAL

Pusat baik pulih, senggara jet perniagaan Dassault Aviation siap suku pertama 2024

SHAH ALAM, 23 FEB: Pusat penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) jet perniagaan milik syarikat Dassault Aviation dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

EXCO industri dan perdagangan berkata pusat yang dibina atas tapak seluas 144,000 kaki per segi di Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark giat dibangunkan syarikat pembuatan pesawat perniagaan kedua terbesar dunia.

Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan sebaik siap, pusat penyenggaraan terbabit dijangka mampu memuatkan sembilan unit pesawat jenis Falcon 8X dan tujuh unit Falcon 10X.

“Pembinaan pusat bagi perkhidmatan penjagaan pesawat Falcon dalam proses pembinaan dengan pesawat daripada syarikat ini akan mendapat perkhidmatan (MRO) di sini. Ini bererti MRO itu adalah yang paling besar di rantau Asia Pasifik.

“Ini adalah cita-cita Selangor seperti termaktub dalam Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor untuk membangunkan industri aeroangkasa 10 tahun akan datang,” katanya ditemui selepas meninjau Falcon 8X di sini hari ini.

Mengakui teruja selepas berpeluang melawat pesawat itu, Chang Khim berkata Falcon 8X merupakan jet perniagaan terbaharu keluaran syarikat terbabit.

Menurutnya, pesawat berkenaan turut dipamer kepada orang awam pada Pameran Udara Selangor (SAS) September tahun lepas selain merancang perkara sama untuk edisi kali ini.

“Saya sukacita dapat melawat pesawat ini dan mendapatkan maklumat terkini daripada Dassault Aviation berhubung perkembangan industri di Asia Tenggara dan Asia Pasifik.

“Jadi sebagai rakyat Selangor, kita amat berbangga dengan kehadiran Falcon dan Dassault Aviation di negeri ini,” katanya lagi.


Pengarang :