Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali. Foto Facebook MBSJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ keluar lebih 1,000 saman pelbagai kesalahan babit peniaga tahun lalu

SHAH ALAM, 24 FEB: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan 1,045 denda kepada peniaga atas pelbagai kesalahan dengan nilai hukuman RM625,840 sepanjang tahun lalu.

Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali berkata daripada jumlah itu, 537 kes bagi kesalahan menyenggara gerai di tepi jalan dan halangan di tempat awam diikuti 272 kes kesalahan premis beroperasi tanpa lesen.

“Sebanyak 192 kes bagi kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen serta 35 lagi untuk pemanduan kenderaan berat pada waktu dan kawasan larangan, tujuh kes pembuangan sampah haram manakala dua kes pusat hiburan beroperasi tanpa lesen.

“MBSJ memandang serius perkara ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pesalah yang masih gagal mematuhi undang-undang,” katanya dalam mesyuarat bulanan pihak berkuasa tempatan itu semalam.

Mohd Zulkurnain menyeru penjaja yang beroperasi di tepi jalan raya atau atas petak letak kenderaan segera menghentikan aktiviti itu kerana ia mendatangkan risiko keselamatan kepada pelanggan dan pengguna jalan raya.

“Orang awam juga digesa untuk membuat laporan terhadap mana-mana aktiviti haram dijalankan di sekitar bandar raya ini,” katanya.


Pengarang :