Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej untuk menuntut hadiah berupa wang tunai yang kembali tular dalam laman sosial. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengguna boleh guna ‘kill switch’ beku akaun atasi kes tipu dalam talian

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Kerajaan menyediakan RM10 juta bagi geran pengoperasian sebagai usaha mengukuhkan peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia berikutan jenayah penipuan dalam talian atau ‘scam’ kini semakin parah.

Beliau berkata pada 2022 sahaja, lebih 25,000 jenayah berkenaan direkodkan dengan kerugian sebanyak RM850 juta.

“Walaupun kerajaan telah menubuhkan NSRC, belum ada dasar seragam dalam menangani isu ini kerana setiap institusi perbankan mengeluarkan garis panduan masing-masing.

“Bank Negara juga akan menguatkuasakan dasar ‘kill switch’ kepada semua institusi perbankan bagi membolehkan pengguna sendiri mengambil tindakan segera membekukan akaun mereka termasuk kad ATM daripada digunakan sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, di bawah Kerajaan Perpaduan hari ini.

Belanjawan 2023 sebelum ini dibentangkan oleh kerajaan terdahulu pada 7 Oktober tahun lepas yang memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion.

Bagaimanapun, belanjawan itu tidak sempat dibahas dan diluluskan susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober yang memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat.

Beliau berkata sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang RM50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini.

Katanya kerajaan menyasarkan 130,000 rakyat dilepaskan daripada status muflis dengan lulusnya pindaan berkenaan.

“Rakyat yang diisytihar muflis berhak mempunyai peluang kedua. Setakat Januari, lebih 260,000 kes muflis telah direkodkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :