AGENDANASIONAL

Kes muflis hutang kurang RM50,000 dilepas mulai 1 Mac

SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik dalam masa yang singkat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sementara menunggu pindaan tersebut, kes kecil yang melibatkan hutang kurang RM50,000 serta memenuhi syarat akan dilepaskan mulai 1 Mac ini.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan seramai 130,000 individu dijangka bebas daripada status muflis jika pindaan tersebut diluluskan.

“Rakyat yang diisytihar muflis berhak punyai peluang kedua. Setakat Januari, lebih 260,000 kes muflis telah direkodkan yang turut melibatkan anak-anak kita majoritinya Melayu yang punyai potensi menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata bagi melindungi hak pengguna, syarikat menawarkan perkhidmatan kredit pengguna seperti syarikat pemfaktoran dan Buy Now Pay Later akan dikawal.

“Bagi menjamin layanan yang adil serta melindungi hak rakyat dan perniagaan, kerajaan akan menggubal Akta Kredit Pengguna.

“Kerajaan juga bakal menubuhkan lembaga pemantauan kredit pengguna untuk mengawal selia perniagaan kredit dan dijangka dibentangkan tahun ini,” katanya.


Pengarang :