Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen pada 24 Februari 2023. Foto BERNAMA
SELANGOR

Projek bina jalan, jambatan Sungai Sepang elak lokasi pelancong sesak

SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan akan melaksanakan projek membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi mengatasi isu kesesakan yang menjejaskan lokasi tumpuan pelancong.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan projek dengan kos RM160 juta akan menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang.

Beliau turut memaklumkan projek lain akan dibina bagi mengatasi isu itu meliputi pembinaan jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang membabitkan kos RM480 juta.

“Selain itu, menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke persimpangan Semabok Lebuh AMJ Melaka Tengah dengan kos RM300 juta dan menambah baik kemudahan jaringan lebuhraya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway.

“Kerajaan juga bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng Utara ke Senai Utara-Fasa 1, Johor daripada empat kepada enam lorong dengan kos RM525 juta secara berfasa,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

Anwar berkata kerajaan turut memperuntuk RM250 juta bagi mempromosi pelancongan dengan RM115 daripadanya sebagai dana geran padanan untuk bekerjasama dengan industri pelancongan dan kebudayaan.

“Geran padanan ini untuk menggalakkan aktiviti promosi pelancongan dan penganjuran acara besar seperti sukan antarabangsa dan kebudayaan.

“Geran ini turut digunakan untuk menggalakkan penerbangan charter bagi menarik pelancong dari pasaran baharu,” katanya.


Pengarang :