Program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) di sekitar kawasan Pelabuhan Klang pada 25 Mei 2022. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENDANASIONAL

Tumpu noktahkan miskin tegar, umum inisiatif jana pendapatan

SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin untuk meningkatkan potensi pendapatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sejumlah RM750 juta disediakan bagi menjayakan program tersebut untuk membantu sekitar 130,000 rakyat termiskin.

“Iltizam kerajaan hari ini untuk menoktahkan kemiskinan tegar. Kira-kira 130,000 rakyat tersusah tanpa mengira latar belakang kaum akan segera dibantu untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui langkah yang lebih menyeluruh,” katanya.

Bercakap ketika membentangkan Belanjawan 2023 hari ini, beliau yang juga menteri kewangan turut mengumumkan beberapa pendekatan baharu bagi mengatasi kelemahan pelaksanaan lalu.

Pendekatan itu adalah seperti berikut:

● Bantuan dan kemudahan diberikan secara bulanan dan dipantau sama ada sewa beli kelengkapan atau subsidi penggajian untuk majikan yang mengambil peserta miskin tegar bekerja

● Aktiviti ekonomi memenuhi keperluan komuniti setempat terutamanya sektor agropertanian dan makanan untuk memastikan permintaan berterusan

● Menyasarkan peserta meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 ringgit dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan mampu menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperolehi


Pengarang :