OLEH DIANA ABD WAHAB
PETALING JAYA, 28 FEB: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor hari ini berkenan menyempurnakan program Aspirasi Asnaf 2023 anjuran Persatuan Wanita Islam Prihatin (PWIP).
Tengku Permaisuri Norashikin diiringi Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad pada majlis yang berlangsung di Hotel One World di sini.
Program sempena ulang tahun kelima PWIP yang turut dihadiri Presiden PWIP Mashita Abdul Rahim menyediakan platform bimbingan, pembangunan sosial dan ekonomi asnaf khususnya ibu tunggal.
Inisiatif itu juga bertujuan memberi peluang kepada golongan sasar yang bercita-cita tinggi, ingin berdikari dan menjadikan impian atau aspirasi mereka satu realiti.
Tengku Permaisuri turut berkenan menyampaikan plak kepada rakan strategik PWIP iaitu Personaliti Aspirasi Asnaf Dato’ Seri Mahadi Badrul Zaman dan Pengarah Urusan Reka Makmur Datuk Noor Azman Nordin.
Baginda turut menyampaikan cenderahati kepada 25 asnaf, ibu tunggal, mualaf dan orang kurang upaya (OKU) selain beramah mesra dengan peniaga yang mengambil bahagian dalam program tersebut.
Majlis turut diserikan dengan pertunjukan fesyen Muslimah Sri Munawwarah Design selain persembahan nyanyian daripada Adila Idris dan Datin Seri Heliza Helmi.