AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PPAS: Galak pelbagai bacaan, seorang boleh pinjam 20 naskhah buku

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 1 MAC : Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menaikkan jumlah pinjaman buku untuk seorang daripada 10 kepada 20 naskhah bermula hari ini.

Timbalan Pengarahnya Suzliana Abd Hamid berkata orang ramai boleh meminjam buku di semua perpustakaan negeri atau menempah melalui perkhidmatan BooksFly2U.

“Kita ingin memberi peluang kepada orang ramai yang tinggal jauh dari perpustakaan meminjam lebih banyak buku untuk seisi keluarga. Langkah inu juga membantu golongan pelajar dan penyelidik yang memerlukan banyak bahan rujukan.

“Bagaimanapun tempoh pinjaman tetap sama iaitu tiga minggu. Namun peminjam dibenarkan membuat pembaharuan pinjaman selama seminggu lagi jika belum habis membaca semua buku,’’ katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu PPAS menerusi Facebook memaklumkan pihaknya membenarkan setiap individu meminjam 20 naskhah buku.

“Berita baik kepada semua! Kami telah menaikkan pinjaman buku kami dari 10 naskhah ke 20 naskhah bagi memberi peluang anda menambah bahan bacaan sedia ada,” maklumnya.

Sementara itu, Suzliana berkata PPAS juga melanjutkan tempoh pinjaman komputer riba atau komputer meja melalui Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (Sepintas) dari 60 hari (dua bulan) kepada 180 hari (enam bulan)

“Pinjaman bahan pandang dengar (audiovisual) juga ditambah daripada lima unit kepada 10 unit. Tempoh pinjaman turut ditambah dari 14 hari kepada 21 hari,” tambahnya.


Pengarang :